Realiti ketuanan Melayu

KEBELAKANGAN ini suara- suara sumbang yang mempertikaikan ketuanan Melayu dengan mendakwa bahawa konsep berkenaan bersifat perkauman dan tidak relevan dengan realiti Malaysia yang berbilang kaum semakin lantang kedengaran. Terdapat pula sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan melaga- lagakan konsep ketuanan Melayu dengan ketuanan rakyat.

Sebenarnya dalam konteks politik Malaysia faktor sejarah serta realiti demografik menyebabkan konsep ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat muncul sebagai konsep yang bukan sahaja saling tidak bertentangan malahan ia merupakan sisi yang berbeza bagi satu syiling yang sama, saling lengkap melengkapi.

Bagi Malaysia konsep ketuanan rakyat dalam bidang politik telah mula tertegak semenjak negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris lebih 50 tahun yang lalu. Konsep ketuanan rakyat adalah teras asas bagi mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi pelbagai parti yang berwibawa. Ini kerana dalam sebuah demokrasi rakyatlah yang mempunyai kuasa mutlak melalui undi mereka untuk menentukan parti politik atau gabungan parti politik yang akan membentuk kerajaan. Melalui konsep ketuanan rakyat aspirasi golongan majoriti dihormati manakala kepentingan sah kaum minoriti dilindungi berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kewujudan ketuanan rakyat tanpa kewujudan ketuanan Melayu di Malaysia bermakna penindasan golongan minoriti terhadap kaum majoriti. Jika ini berlaku maka ia tiada beza dengan apa yang pernah berlaku sebelum tahun 1994 di negara Afrika Selatan iaitu yang dinamakan sistem aparteid.

Dalam membicarakan konsep ketuanan Melayu perkara pertama yang harus diinsafi oleh semua pihak adalah konsep ini tidak sekali-kali membawa konotasi perhubungan submisif yang wujud antara tuan dan hamba sebagaimana yang lazimnya difahami.

Konsep ketuanan Melayu wujud semata-mata hasil manifestasi faktor demografik negara dan kontrak sosial antara kaum yang diijmakkan semasa negara mencapai kemerdekaan.

Ia sebenarnya telah dibayar dengan harga yang cukup mahal oleh orang Melayu apabila mereka terpaksa menerima hakikat bahawa Tanah Melayu akan selama-lamanya berubah dari negara yang bersifat eka kaum kepada pelbagai kaum. Orang Melayu tidak mempunyai pilihan di dalam soal ini. Sudahlah apabila golongan imigran di bawa masuk ke bumi Tanah Melayu orang Melayu tidak dirundingi, untuk memperoleh kemerdekaan mereka terpaksa pula menerima kerakyatan yang diberikan kepada kaum imigran.

Persepsi bahawa wujud pertembungan di antara ketuanan rakyat dan ketuanan Melayu timbul kerana ketidakprihatinan malahan ketidakpedulian sesetengah pihak terhadap dokumen paling asas negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Sebenarnya kajian yang teliti terhadap dokumen ini akan membawa kita kepada satu kesimpulan yang jelas iaitu konsep ketuanan rakyat (antara lainnya dilambangkan melalui peruntukkan-peruntukkan Perkara 40 (1) & (1A), Perkara 43 (2),(3),(4) & (5), Perkara 46 (1) dan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan).

Ketuanan Melayu adalah konsep- konsep yang sememangnya sudah dimaktubkan oleh undang-undang tertinggi negara.

Semenjak merdeka orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini, hari ini orang Melayu membentuk 65 peratus penduduk Malaysia. Disebabkan faktor ini jawatan Perdana Menteri dan majoriti anggota Kabinet serta ahli-ahli Parlimen semenjak merdeka dipegang oleh orang Melayu.

Selain daripada fakta bahawa orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini asas utama yang mengukuhkan lagi konsep ketuanan Melayu di dalam sistem pemerintahan negara adalah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan yang mewujudkan institusi Yang di- Pertuan Agong selaku Ketua Negara bagi Malaysia.

Mengikut Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Cabang Eksekutif (Perkara 39) di mana selaku Ketua Negara pemerintahan Malaysia dijalankan di atas nama baginda.

Baginda juga adalah salah satu elemen yang membentuk cabang legislatif selain Dewan Negara serta Dewan Rakyat.

Baginda melantik Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja, melantik Perdana Menteri, Kabinet dan anggota pentadbiran persekutuan yang lain, melantik hakim-hakim persekutuan, dan merupakan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu termeterai melalui pemegang jawatan ini kerana Yang di-Pertuan Agong dipilih setiap lima tahun sekali oleh Majlis Raja-Raja dari kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu yang sedang bertakhta. Hanya Raja-Raja Melayu yang berhak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Asas ini diperkukuhkan lagi melalui peruntukan Perkara 3(1), 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi negara, agama yang menjadi asas kemelayuan itu sendiri. Mengikut Perkara 160 tiga kriteria utama untuk seseorang itu diktiraf Melayu adalah individu tersebut mestilah seorang penganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu.

Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara tidak pula menjadikan penganutan agama tertentu sebagai syarat pengiktirafan etnik tertentu bagi seseorang individu mahupun memberikan taraf agama rasmi kepada agama anutan individu terbabit.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula menjadikan Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia) sebagai bahasa kebangsaan tunggal negara, peruntukkan ini diperkukuhkan lagi oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tanggapan banyak pihak bahawa hanya Peruntukan Perkara 153 yang memaktubkan hak-hak istimewa orang Melayu satu-satunya bukti ketuanan Melayu dalam konteks politik adalah tersasar jauh dari realiti yang ada.

Pihak-pihak yang menolak konsep ketuanan Melayu sebenarnya menolak Perlembagaan negara yang sedia ada dan rata-ratanya bersifat perkauman.

Ini kerana penolakan ketuanan Melayu bermakna mereka sebenarnya menolak legitimasi sistem Raja Berperlembagaan yang sedang kita amalkan hari ini.

Mereka menolak kedudukan Islam sebagai agama rasmi tunggal negara, mereka menolak kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta mereka menolak hak-hak keistimewaan orang- orang Melayu sebagai pribumi asal Tanah Melayu.

Advertisements

2 Responses

  1. Dengan Artikel ini jelas sekali menunjukkan Kaum Bumiputra/ Melayu di naungi oleh perlembagaan negara… diharap kaum2 lain membuka mata dan telinga… tidak lupa juga pada kaum melayu yg lupa diri… sedar dan kembali lah pada perjuangan asal dan hakiki…

  2. I like you Hangtuah. Kita patut terapkan pengetahuan berkenaan perlembagaan pada semua lapisan masyarakat. Sepatutnya bermula dari alam persekolahan lagi ilmu asas berkenaan perlembagaan di semaikan didalam setiap sanubari pelajar. Bukan sekadar mengingati Rukun Negara tetapi biarlah memahami apa ertinya keluhuran perlembagaan. Sebab tu, kita dapati masih ada para menteri macam tak tahu je apa itu perlembagaan. Jangan kata pak menteri, para akademik dan mereka yang berjawatan tinggi kerajaan pun belum tentu dapat menjelaskan apa itu perlembagaan. Sebab tu ada orang melayu yang sanggup menggadaikan ketuanan melayu kerana ingin memperjuangan hak sama-rata dengan bangsa lain. Kenapa? Tepuk dada tanyalah dada sendiri wahai pembaca yang budiman. Janganlah kita mencipta sejarah baru tentang kejatuhan orang melayu hanya kerana ingin menyusukan kera dihutan. Biarkanlah kera mati kelaparan asalkan anak cucu kita sebagai pribumi di Negara Malaysia terus hidup aman damai.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: