Azizah puji Ian Chin tapi Karpal Singh suruh pecat

Ibrahim Ali, Karpal Singh sepakat mahu hakim Ian Chin dipecat
15/07/2008 8:06pm

KUALA LUMPUR 15 Julai – Dua anggota Parlimen hari ini bersepakat meminta kerajaan memecat Hakim Datuk Ian Chin kerana membuat kenyataan yang boleh menjejaskan sistem kehakiman negara ini.

Datuk Paduka Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang biasanya sering bertelingkah pendapat, tetapi kali ini menyokong pandangan masing-masing berhubung perkara itu.

Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya dan menghentikan hakim itu daripada membuat kenyataan yang hanya menjejaskan kedudukan hakim.

“Sebagai hakim beliau tertakluk kepada kod etika hakim dan (membuat) kenyataan-kenyataan dengan secara terbuka seolah-olah tidak terkawal.

Sejauh mana kerajaan menjaga kod etika di kalangan hakim-hakim ini,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada 11 Jun lepas, Chin semasa mendengar kes pertikaian terhadap keputusan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas di Sarawak, mendedahkan kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu persidangan hakim pada 1997 pernah mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan.

Kenyataan Chin itu yang disiarkan di media massa menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak mengenai tujuan kenyataan bagi memburuk-burukkan bekas Perdana Menteri itu dibuat.

Karpal Singh turut menyifatkan kenyataan Chin itu sebagai tidak matang dan mempunyai pemikiran yang sempit.

“Majlis peguam pun tidak ada ambil tindakan. Adakah Ketua Hakim Negara rela ambil tindakan terhadap beliau. Lebih baik dia dipecat dari kehakiman,” kata Karpal Singh.

Ibrahim yang amat bersetuju dengan kenyataan Karpal Singh itu turut menyatakan rasa hairan kerana Majlis Peguam bersikap mendiamkan diri dalam kes itu sedangkan dalam kes-kes lain mereka paling lantang membuat komen.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu juga tidak bersetuju kerajaan membayar ex-gratia kepada hakim-hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman pada 1988, sambil menyifatkan bayaran itu seumpama rasuah yang menonjolkan bahawa kerajaan menyesal, tersilap dan bersalah terhadap mereka.

Beliau berkata, pemecatan hakim-hakim itu dibuat mengikut prosedur iaitu melalui tribunal dan dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai ganjaran dan gaji kepada hakim-hakim, beliau berkata sepatutnya perkara berkenaan menaikkan gaji harus dilaksanakan kepada semua kakitangan termasuk majistret dan juga kakitangan-kakitangan kerajaan dalam sektor kritikal yang lain dan bukannya satu pihak sahaja.

Sementara itu Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika membahaskan Rang Undang-Undang itu mencadangkan supaya kerajaan mengadakan khidmat mahkamah bergerak di Sabah dan Sarawak.

“Kita mahu kesaksamaan. Perkara ini tak berlaku di Semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak kerana tidak banyak mahkamah. Langkah ini boleh menyelesaikan kes-kes tertunggak berpuluh tahun,” katanya. — BERNAMA.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: