Azizah puji Ian Chin tapi Karpal Singh suruh pecat

Ibrahim Ali, Karpal Singh sepakat mahu hakim Ian Chin dipecat
15/07/2008 8:06pm

KUALA LUMPUR 15 Julai – Dua anggota Parlimen hari ini bersepakat meminta kerajaan memecat Hakim Datuk Ian Chin kerana membuat kenyataan yang boleh menjejaskan sistem kehakiman negara ini.

Datuk Paduka Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang biasanya sering bertelingkah pendapat, tetapi kali ini menyokong pandangan masing-masing berhubung perkara itu.

Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya dan menghentikan hakim itu daripada membuat kenyataan yang hanya menjejaskan kedudukan hakim.

“Sebagai hakim beliau tertakluk kepada kod etika hakim dan (membuat) kenyataan-kenyataan dengan secara terbuka seolah-olah tidak terkawal.

Sejauh mana kerajaan menjaga kod etika di kalangan hakim-hakim ini,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2008 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada 11 Jun lepas, Chin semasa mendengar kes pertikaian terhadap keputusan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas di Sarawak, mendedahkan kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad pada satu persidangan hakim pada 1997 pernah mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan.

Kenyataan Chin itu yang disiarkan di media massa menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak mengenai tujuan kenyataan bagi memburuk-burukkan bekas Perdana Menteri itu dibuat.

Karpal Singh turut menyifatkan kenyataan Chin itu sebagai tidak matang dan mempunyai pemikiran yang sempit.

“Majlis peguam pun tidak ada ambil tindakan. Adakah Ketua Hakim Negara rela ambil tindakan terhadap beliau. Lebih baik dia dipecat dari kehakiman,” kata Karpal Singh.

Ibrahim yang amat bersetuju dengan kenyataan Karpal Singh itu turut menyatakan rasa hairan kerana Majlis Peguam bersikap mendiamkan diri dalam kes itu sedangkan dalam kes-kes lain mereka paling lantang membuat komen.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu juga tidak bersetuju kerajaan membayar ex-gratia kepada hakim-hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman pada 1988, sambil menyifatkan bayaran itu seumpama rasuah yang menonjolkan bahawa kerajaan menyesal, tersilap dan bersalah terhadap mereka.

Beliau berkata, pemecatan hakim-hakim itu dibuat mengikut prosedur iaitu melalui tribunal dan dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai ganjaran dan gaji kepada hakim-hakim, beliau berkata sepatutnya perkara berkenaan menaikkan gaji harus dilaksanakan kepada semua kakitangan termasuk majistret dan juga kakitangan-kakitangan kerajaan dalam sektor kritikal yang lain dan bukannya satu pihak sahaja.

Sementara itu Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika membahaskan Rang Undang-Undang itu mencadangkan supaya kerajaan mengadakan khidmat mahkamah bergerak di Sabah dan Sarawak.

“Kita mahu kesaksamaan. Perkara ini tak berlaku di Semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak kerana tidak banyak mahkamah. Langkah ini boleh menyelesaikan kes-kes tertunggak berpuluh tahun,” katanya. — BERNAMA.

Advertisements

Pas ‘melukut di tepi gantang’ dalam pakatan

SHAH ALAM 14 Julai – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo berkata, Pas kemungkinan tidak lagi relevan pada masa depan sekiranya terus kekal dalam pakatan pembangkang di Selangor.

Beliau berkata, ini kerana peranan Pas Selangor seperti dipinggirkan oleh kerajaan negeri yang sebenarnya dikuasai DAP dan Parti keadilan Rakyat (PKR) dalam perkara tertentu.

Sebaliknya, kemasukan Pas dalam pakatan pembangkang tidak lebih hanya untuk mencukupkan bilangan kerusi majoriti bagi membentuk kerajaan negeri.

‘‘Pas di Selangor hari ini ibarat ‘melukut di tepi gantang’. Mungkin mereka (Pas) ingat dengan menyertai pakatan pembangkang, mereka berjaya mentadbir negeri ini, tetapi sebenarnya mereka dipinggirkan oleh DAP dan PKR,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, Pas terpaksa ‘melupakan’ prinsip perjuangan yang kononnya memperjuangkan Islam hanya kerana mahu kekal dalam pakatan pembangkang meskipun wujud rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin mahupun penyokong parti itu.

“Sebagai contoh, dalam kes konsert Mas Idayu dan Ella di Stadium Shah Alam serta persembahan sempena perhimpunan protes bantah kenaikan harga minyak di Kelana Jaya baru-baru ini, menggambarkan sikap Pas yang seolah-olah membenarkan perkara itu berlaku walaupun kedua-duanya (persembahan) mendapat bantahan mereka sendiri,’’ jelasnya.

Tambah Mohamad Khir, sekiranya Pas terus bersikap sedemikian, parti itu sebenarnya tidak selari dengan prinsip Islam dan kedudukan orang Melayu yang kononnya merupakan asas perjuangan mereka.

Malah, katanya, keadaan sedemikian menunjukkan seolah-olah sesetengah pemimpin Pas di Selangor menutup mulut dan mata mereka hanya kerana mahu mengekalkan jawatan dalam kerajaan negeri.

‘‘Keadaan seperti inilah akan menjadikan Pas tidak lagi relevan pada masa depan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang ketika ditanya pendirian UMNO untuk bekerjasama dengan Pas sekiranya parti itu keluar daripada pakatanpembangkang berkata, pihaknya tidak ada masalah mengenai perkara itu.

Jelasnya, UMNO mempunyai pendirian terbuka dalam setiap perkara terutamanya dalam soal yang membabitkan agama Islam serta kepentingan orang Melayu.

‘‘Jika Pas mahu bekerjasama, kita sedia pertimbangkan sekiranya ia membabitkan kepentingan Islam dan orang Melayu.

‘‘Sungguhpun begitu, jika mereka mahu berbuat demikian (bekerjasama), mereka perlulah keluar daripada pakatan pembangkang terlebih dahulu, barulah kita boleh bincang,’’ ujarnya.

Kenapa Zaid tak nak dedah wang ex-gratia pada hakim

Bayaran ex-gratia tetap tidak didedah – Zaid
15/07/2008 6:41pm

KUALA LUMPUR 15 Julai – Kerajaan tetap tidak akan mendedahkan jumlah ex-gratia yang dibayar kepada enam bekas hakim yang dipecat semasa krisis badan kehakiman dua dekad lalu walaupun menerima desakan daripada pelbagai pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim sebaliknya berharap semua pihak dapat menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat itu.

“Biar apa pun, persetujuan telah dibuat untuk tidak mendedahkan jumlahnya. Ini seperti mana yang saya jelaskan beberapa kali sebelum ini iaitu berdasarkan permintaan bekas hakim-hakim itu sendiri.

“Mereka (bekas hakim) buat permintaan, jika kerajaan hendak beri (bayaran ex-gratia) jangan pula ia didedahkan kepada umum. Sebab itu kita tidak boleh beritahu kerana kita dah bersetuju dengan mereka.

“Lagi pun mereka ini semua dah tua, ada yang 85 tahun, 82 tahun dan yang telah meninggal dunia pula, keluarga mereka turut membuat permintaan yang sama. Jadi tak bolehkah kita hormatinya,” katanya.

Zaid berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak termasuk beberapa anggota Dewan Rakyat pada sesi penggulungan perbahasan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) malam tadi supaya didedahkan jumlah bayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim itu.- Utusan.