Tun Dr Mahathir bercerita pasal PEMBODEK



1. Pada sidang akhbar untuk menerangkan berkenaan laporan polis
terhadap Hakim Ian Chin, seorang pemberita asing menyalahkan saya
kerana pentadbiran kuku besi Perdana Menteri.



2. Kononnya sikapnya ini diperturunkan daripada saya. Malahan pemberita
itu juga mengatakan yang saya lebih buruk daripada Dato Seri Abdullah.



3. Media Barat dan pengkritik-pengkritik saya di kalangan pembangkang
dan sesetengah pihak di kalangan media tempatan telah melabelkan saya
sebagai diktator semasa saya menjadi Perdana Menteri.


4. Label adalah satu cara untuk burukkan imej pemimpin bagi mengurangkan popularitinya.


5. Lee Kuan Yew melabel saya “Malay Ultra” dan rakyat Malaysia
berketurunan Cina terkejut atas pelantikan saya sebagai Timbalan
Perdana Menteri oleh Tun Hussein Onn. Mereka jangka yang saya akan
merampas kekayaan dan hak mereka untuk diberikan kepada orang Melayu.



6. Tetapi selepas saya mengambil alih, mereka bertukar fikiran dan
sokong saya. Sebelum saya letak jawatan, pengundi-pengundi Cina telah
pastikan saya dapat majority 2/3 pada 1999, pilihanraya umum terakhir
yang saya terajui.



7. Tetapi pemberita barat masih kekal dengan khayalan mereka yang saya
ini diktator, anti kaum Cina dan perasuah disamping memberi
keistimewaan kepada kroni-kroni saya. Pemberita mereka akan membaca
laporan-laporan lama dan akan menganggap ianya sebagai benar. Mereka
tidak pernah membuat sebarang penyelidikan. Sebab itu setiap kali saya
mengkritik rejim Dato Seri Abdullah, mereka dan pembodek-pembodek
Abdullah akan tuduh yang saya ini lebih buruk semasa menjadi Perdana
Menteri.



8. Terutama sekali tuduhan berkenaan pentadbiran kuku besi yang
kononnya saya amalkan dalam Kerajaan dan parti. Hakikat yang mereka
tidak mahu lihat ialah semasa saya pegang kerusi Presiden UMNO,
pemimpin-pemimpin lain tidak takut melawan saya.



9. Dato (sekarang Tun) Musa Hitam, timbalan saya yang pertama
melepaskan jawatannya di dalam Kerajaan dan parti. Sudah tentu saya
marah dengan tindakannya. Tetapi Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk
menghantar delegasi memujuk beliau kembali. Saya tidak bantah gerakan
ini dan menerima keputusannya kembali sebagai Timbalan Presiden UMNO,
tetapi tidak sebagai Timbalan Perdana Menteri.


10. Saya melantik (Tun) Ghaffar Baba sebagai Timbalan Perdana Menteri.


11. Selepas itu Musa menghasut musuh ketatnya, Tengku Razaleigh Hamzah
supaya bertanding kerusi Presiden menentang saya dan dia sendiri
bertanding jawatan Timbalan Presiden.



12. Mereka berdua disokong oleh (Dato Seri) Abdullah Badawi, (Dato
Seri) Syed Hamid Albar, (Tan Sri) Abdul Kadir Sheikh Fadzir, (Dato
Seri) Rais Yatim dan ramai lagi. Mereka menjelajah ke seluruh negara
memujuk Bahagian-bahagian dan ahli UMNO untuk menolak saya dan melantik
mereka di Perhimpunan Agong UMNO.



13. Saya tidak sekat mereka berkempen walaupun mereka membuat
tuduhan-tuduhan yang memburukkan imej saya. Ahli UMNO tidak dihalang
menghadiri mesyuarat kempen mereka. Adalah dipercayai bahawa wang telah
digunakan bagi memujuk perwakilan UMNO ke mesyuarat Agong untuk
mengundi mereka.


14. Dalam pertandingan tersebut saya menang dengan majoriti 43-undi manakala Ghafar menang dengan 41-undi.


15. Penyokong-penyokong Tengku Razaleigh membawa isu ini ke mahkamah
untuk memaksa pemilihan semula. Mahkamah putuskan UMNO sebagai
pertubuhan yang tidak sah. Saya terpaksa daftar semula UMNO sebagai
UMNO Baru. Tengku Razaleigh menubuhkan parti baru yang dipanggil
Semangat 46 bersempena tahun kelahiran UMNO.


16. Kedua-dua parti cuba menarik ahli UMNO lama. UMNO Baru berjaya pikat ahli lama dan ahli baru yang teramai.


17. Dato Seri Abdullah memilih untuk sertai UMNO Baru. Walaupun dia
menyokong Tengku Razaleigh saya tidak menyekatnya. Tetapi saya tidak
lantik dia sebagai Menteri.



18. Semangat 46 kalah teruk pada Pilihanraya Umum 1990 dan sekali lagi
pada 1995. Tengku Razaleigh membubarkan parti tersebut dan kembali
kepada UMNO. Saya tidak menyimpan apa-apa dendam terhadapnya. Dato Seri
Rais Yatim dilantik Menteri.



19. Dato Seri Abdullah Badawi bertanding dan menang kerusi Ahli Majlis
tertinggi UMNO. Pada pemilihan seterusnya dia bertanding Naib Presiden
dan mendapat tempat kedua.



20. Selepas itu saya membuat rumusan bahawa ahli UMNO hendakkan beliau
dan saya pun lantik beliau sebagai Menteri Kabinet. Saya tidak boleh
ketepikan kehendak ahli UMNO. Parti ini adalah hak ahli, bukan hak saya
seorang.



21. Dianya kemudian dilantik oleh saya sebagai Timbalan Perdana Menteri
dan sebagai kebiasaan oleh dipilih perwakilan UMNO sebagai Timbalan
Presiden.



22. Semua ini berlaku semasa saya memegang jawatan Presiden UMNO dan
Perdana Menteri. Tetapi sebaik sahaja saya meletak jawatan saya tidak
dibenar berjumpa Menteri UMNO dan lain-lain pemimpin UMNO dan mereka
juga tidak dibenar berjumpa saya atau menghadiri apa-apa acara dimana
saya berucap. Arahan ini kekal hingga hari ini.



23. Ahli UMNO yang menjemput saya berucap dipanggil Menteri Besar UMNO
dan polis dan diarah tarik balik jemputan mereka. Selepas itu
cawangan-cawangan UMNO berhenti menjemput saya. Mereka terpaksa
menggunakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) agar yang berani di antara
mereka dapat hadir secara senyap. Ahli Parlimen UMNO serta Ahli Dewan
Undangan Negeri tidak akan hadir walaupun mesyuarat di anjurkan NGO.


24. Jemputan oleh universiti juga tidak dibenarkan dan yang menjemput terpaksa tarik balik.


25. Apabila saya minta untuk berjumpa Timbalan Presiden UMNO dan
Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak selepas Pilihanraya
Umum, dia berkata yang dia terpaksa dapatkan kebenaran Perdana Menteri
dahulu.



26. Setelah beberapa lama, pihak akhbar bertanya kepada saya jika saya
telah berjumpa Timbalan Perdana Menteri, saya terpaksa terang kepada
mereka yang saya masih belum dapat jumpa kerana Timbalan Perdana
Menteri masih belum dapat kebenaran Perdana Menteri. Semasa saya
menjadi Timbalan Perdana Menteri saya tidak perlu dapatkan kebenaran
Perdana Menteri untuk bertemu sesiapa. Begitu juga dengan empat
Timbalan saya, mereka tidak perlu dapatkan kebenaran saya. Mereka bebas
berjumpa sesiapa yang mereka suka.



27. Selepas akhbar melapor jawapan saya, Perdana Menteri berkata dia
tidak pun tidak beri kebenaran. Sejurus itu Dato Seri Najib juga jemput
saya ke rumahnya. Saya pergi dan saya dapati yang dia tidak sanggup
untuk menentang apa sahaja yang Perdana Menteri kata atau lakukan.
Jelaslah yang dia takut kepada Perdana Menteri. Kenapa dianya begitu
takut saya tak tahu. Tetapi semua Menteri Kabinet, ahli Majlis
Tertinggi UMNO, Ketua-Ketua Bahagian memangpun takut dengan Perdana
Menteri Abdullah. Mereka tidakpun pernah takut semasa saya menjadi
Perdana Menteri.



28. Selepas Pilihanraya Umum 2008, ahli UMNO pun menyalahkan Dato Seri
Abdullah. Ramai yang telah secara senyap mengundi pembangkang kerana
mereka tidak sukakannya mahupun pentadbirannya. Dia diminta letak
jawatan oleh ramai Ketua-Ketua Bahagian yang tidak memegang jawatan
Kerajaan. Yang berada dalam Kerajaan memberi sokongan tidak belah-bagi
kerana takut kehilangan jawatan.



29. Tidak ada seorangpun pemimpin tinggi UMNO yang berani menentangnya.
Tidak ada seorangpun yang berani menyatakan apa-apa secara terbuka
terhadapnya. Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri-menteri Kabinet
bersatu suara menyokong beliau. Sokongan kepada saya semasa saya
Perdana Menteri tidak pernah menyeluruh.



30. Walaupun kerap berlaku tentangan dan kritikan terhadap saya semasa
mejadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, walaupun ahli UMNO dan
pemimpin parti jelas menentang saya dan hampir menjatuhkan saya,
walaupun pemimpin UMNO bertanding melawan saya, pembodek-pembodek
Abdullah dan media Barat masih lagi berkeras mengatakan bahawa saya
diktator yang lebih buruk daripada Abdullah. Bahawa saya telah meletak
jawatan tanpa paksaan, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh
mana-mana diktator, ini tidak sedikitpun mengurangkan dakwaan diktator
terhadap saya.



31. Tuduhan yang saya lebih buruk daripada Dato Seri Abdullah akan
dibangkitkan setiap kali saya mengkritik atau menunjukkan penguasaan
kuku besi rejim Abdullah. Jika orang terlalu buta dan tidak dapat
melihat siapa diktator dan siapa bukan, itu adalah hak mereka. Tetapi
apabila kita sengaja menolak kebenaran kita akan hilang kredibiliti.
Itulah sebabnya kenapa hari ini tidak ramai yang membaca akhbar arus
perdana yang dikawal Kerajaan atau menonton laporan berita di stesen
televisyen yang dikawal Kerajaan. Blog telah mengambil alih peranan
media konvensyenal sebagai sumber maklumat.



32. Itulah juga sebabnya saya mulakan blog saya ini. Pengunjung yang
saya terima (tiga juta dalam masa dua bulan) dan maklumbalas yang
mereka buat mencerita keadaan sebenar tentang apa yang mereka rasa.
Kepada majority yang besar di kalangan mereka saya bukan diktator. Bagi
saya ini penting.



33. Pembodek akan terus ulang lagu lama tetapi ini tidak akan membawa
mereka kemana-mana. Jelas sekali rakyat sudah tidak percaya.

Advertisements

2 Responses

  1. suka zaman Tun Dr M memerintah and mentadbir negara.

  2. sy teringat amanat tun bahawa dia gagal mengubah sikap org melayu…tapi tun saya dah berjaya ubah diri saya utk menjadi bangsa melayu yang berjaya.. dan usaha sendiri tanpa minta2…

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: