MELAYU, Jangan jadi macam Si Tanggang

SAYA amat tertarik dan terharu membaca titah Raja Muda Perak, Raja
Dr. Nazrin Shah menerusi muka depan akhbar Mingguan Malaysia siaran 22
Jun 2008.

Saya baca berulang-ulang kali, pada fikiran saya titah baginda sarat dengan nasihat yang paling berguna kepada bangsa Melayu.

Titah tersebut mencakupi pelbagai hal yang wajar diikuti orang-orang
Melayu jika mereka mahu menjadi kuat. Sejak akhir-akhir ini ramai orang
Melayu yang lupa diri di dalam banyak hal.

Tidak payahlah saya mengulangi kata-kata Raja Nazrin. Tetapi yang
penting Melayu jangan jadi Si Tanggang, baru jadi nakhoda sudah lupa
ibunya yang terperuk di hulu kampung.

Contohnya mereka melupakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi
ruang dan peluang kepada mereka bangun daripada kancah lingkaran ganas
kemiskinan.

Dulu hidup mereka ‘haprak’ (meminjam bahasa Dr. Mahathir Mohamad)
tetapi setelah berjaya menongkat menara ganding dan memegang jawatan
tinggi, DEB dikatakan tidak berguna dan mesti dihapuskan.

Malah mereka bersatu dengan orang yang menganut falsafah ‘Malaysian
Malaysia’ untuk menguburkan DEB. Inilah yang pernah Dr. Mahathir sebut,
orang Melayu yang mudah lupa.

Ada yang bongkak walaupun kejayaan belum setinggi mana, hidung lebih tinggi daripada pucuk kelapa.

Mereka berkata, kejayaan mereka atas usaha sendiri bukan pertolongan
daripada kerajaan. Sedangkan kerajaan telah menyediakan ruang, peluang
dan suasana yang baik untuk mereka meningkat maju.

Fenomena kesombongan ini dapat kita lihat kepada golongan usia
pertengahan Melayu yang menidakkan jasa-jasa kerajaan malah sanggup
bersekongkol menjatuhkan kerajaan yang paling berjasa kepada rakyat.

Titah baginda juga menyebut, jangan mudah bermusuh dengan kawan dan jangan mudah berbaik dengan lawan.

Ini dapat kita lihat apabila Parti Islam Se-Malaysia (Pas) yang
sanggup berdakap dengan DAP walaupun pemimpin DAP sampai bila pun tidak
akan menerima konsep negara Islam.

Tetapi kerana seronok mendapat jawatan-jawatan penting, prinsip Pas sudah menjadi debu yang berterbangan ditiup angin.

Titah Raja Muda Perak amat berkesan di hati. Semoga ia dapat memberi
peringatan kepada kita semua agar jangan lekas lupa diri, sombong dan
bongkak terutama kepada anak bangsa sendiri.

Kalau diberi amanah memerintah, maka berhati-hatilah. Jangan membuang bangsa sendiri.

DR. GUNAWAN MAHMOOD

Kuala Lumpur

BUKAN hendak mengungkit semula isu yang telah sejuk tetapi faktanya
isu-isu seperti hasrat menggugurkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru
(DEB) oleh kerajaan campuran Pulau Pinang, penternakan babi dan
kebenaran mendirikan gereja di Selangor belum ada kata pemutus yang
muktamad.

Saya lihat isu-isu tersebut bagaikan disapu di bawah permaidani
sahaja. Persoalan utama yang belum dihuraikan sepenuhnya ialah
bagaimana kedua-dua isu tersebut boleh timbul?

Jawapannya mudah. Bila orang Melayu lemah, situasi ini diambil kesempatan sepenuhnya oleh orang lain.

Saya adalah seorang kakitangan swasta dan berusia 35 tahun. Mungkin saya diklasifikasikan profesional kelas menengah.

Di tempat kerja saya dan di kawasan persekitaran, ramai yang
sebaya. Bila bercerita pasal politik memang nombor satu. Namun ia
sekadar cakap sahaja, tindakannya tiada.

Saya hairan mengapa ramai golongan muda Melayu sebaya dengan saya tidak sensitif kepada isu-isu yang berkaitan bangsa kita.

Ini berbeza dengan generasi muda kaum lain. Pantang sikit soal sekolah aliran dibangkitkan, maka melentinglah mereka.

Bila disentuh soal kuota ke universiti, mereka juga akan lantang
bersuara. Tetapi generasi muda profesional Melayu bagaimana? Sibuk
bercinta sahajakah?

Saya bukan perkauman walaupun saya arif mengenai label ultra-Melayu
yang cepat dilontarkan orang jika kita bersuara mengenai hak Melayu.

Jadi mengapa generasi muda Melayu membisu? Buat seperti tidak ada apa-apa atau buat-buat tidak tahu?

Perkara ini terlintas di fikiran saya tatkala membaca laporan titah
ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada satu majlis di Kuala
Kangsar, Perak pada Sabtu lalu.

Baginda bertitah, anak bangsa yang telah berjaya, janganlah
berperangai seperti Si Tanggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu
mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga
memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh,
hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan
tempat bergantung.

Apakah sikap membisu profesional muda Melayu itu dalam
mempertahankan hak bangsa Melayu boleh disifatkan sebagai petanda sikap
keterbukaan orang Melayu masa kini mengenai konsep Malaysia untuk orang
Malaysia?

Atau sebenarnya mereka prihatin. Cuma tidak menyangka dalam
kesungguhan mereka menentukan arah tuju politik negara, mereka lupa
undi mereka juga telah mengakibatkan orang bukan Melayu begitu berkuasa
dan berani pada hari ini.

Lagipun, bila kita mengundi Pakatan Rakyat untuk berkuasa di lima
negeri, saya percaya tiada pengundi Melayu yang memberi mandat kepada
parti-parti tersebut untuk menghakis, menghapus dan memadamkan hak
bangsa Melayu. Tidak sama sekali.

SLAMAT ABDULLAH

Shah Alam, Selangor

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: