Dulu Membalak Haram, Sekarang Dah Halal


Pembalakan di Ulu Muda suatu ‘pengkhianatan’ – PAS Kedah

Oleh Helmi Khalid

ALOR STAR, 14 Apr (Hrkh) – PAS melahirkan kebimbangan tentang nasib rakyat Kedah, khususnya golongan petani, sekiranya kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap dengan pendirian menganugerahkan konsesi balak secara heli-logging di kawasan tadahan hujan paling strategik, iaitu di hutan Ulu Muda.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu adalah suatu ‘pengkhianatan’ terhadap rakyat di negeri itu. “PAS Kedah berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila Menteri Besar negeri itu, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain, bersungguh-sungguh mempertahankan keputusan menganugerahkan konsesi pembalakan seluas 122, 798 hektar di kawasan hutan simpan Ulu Muda kepada syarikat, WTK Holdings Bhd, dari Sarawak.

PAS difahamkan bahawa projek itu akan dijalankan secara usaha sama dengan Yayasan Islam Kedah dengan nisbah ekuiti 80:20, walaupun laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang dimajukan oleh syarikat berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah ditolak,” kata Azizan.

“Projek ini juga mendapat bantahan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para petani dan rakyat yang beranggapan ia akan menghapuskan kawasan tadahan hujan paling utama di utara Semenanjung Malaysia,” tegas beliau lagi. PAS tolak kerana tiga sebab utama

Selain itu, beliau menegaskan, PAS Kedah turut mempertikai projek tersebut atas tiga sebab utama, iaitu ia akan menjejaskan alam sekitar, pulangan kewangan kepada negeri yang tidak berbaloi dan rekod syarikat WTK Holdings Bhd yang mendukacitakan.

Lebih ‘menakutkan’ katanya, ketika hutan simpan itu – yang melibatkan Empangan Pedu, Muda dan Ahning – berada dalam keadaan sedia ada, kajian oleh Japanese International Cooperation Agency (JICA) mendapati aktiviti penanaman padi di kawasan Ulu Muda, seluas 96 ribu hektar, terpaksa dibatalkan satu musim setiap 10 tahun kerana masalah kekurangan air di empangan terbabit.

“Itu kajian sewaktu kawasan Ulu Muda tidak mengalami apa-apa aktiviti pembalakan. Apakah yang akan berlaku sekiranya kawasan tadahan air itu ‘dirosakkan’ dengan pembalakan sama ada secara konvensional ataupun secara heli-logging?” katanya lagi.

Menurut Azizan lagi, laporan EIA yang dikemukakan oleh WTK Holdings gagal meyakinkan JAS bahawa ia ‘mesra alam’ kerana laporan itu hanya membabitkan Fasa 1 projek berkenaan sahaja yang tidak melihat kesan di luar kawasan pembalakan.

“Apabila kerja membalak dilakukan, hutan ini akan ‘diceroboh sesuka hati’ untuk membina laluan balak dan kita menganggarkan ia akan melibatkan jarak sepanjang 404 km dengan kelebaran 24 m kawasan hutan,” tegas beliau.

Biodiversity hutan akan tergugat

Selain itu katanya, kawasan ini juga mempunyai kepelbagaian hayat (biodiversity) yang menakjubkan apabila pihak saintis menemui 109 spesis mamalia, 174 spesis burung, 54 spesis amfibia dan 20 spesis ikan air tawar, termasuk spesis yang dipercayai baru ditemui di dunia.

Beliau yang juga Adun Sala berkata, mengikut jangkaan, kerajaan Negeri akan memperolehi pendapatn sebanyak RM 62.5 juta dalam jangka 10 tahun atau RM 6.25 juta setahun daripada.

“Jumlah ini amat sedikit jika dibandingkan dengan risiko yang perlu ditanggung akibat mendapan empangan, kehilangan bekalan air domestik dan perindustrian, pembatalan aktiviti penanaman padi di kawasan Muda serta kehilangan spesis pokok, mamalia, burung, amfibia ikan dan lain-lain,” kata beliau.

“Pembatalan kegiatan tanaman padi untuk satu musim sahaja di kawasan Muda akan mengakibatkan negara kehilangan hampir 540 ribu tan padi bernilai RM 297 juta,” sambung Azizan lagi.

Rekod buruk WTK

Selain itu kata beliau, berdasarkan laporan Penilaian Kesan alam sekitar dan Sosial (ESIA) yang disediakan oleh Forest Monitor Limited danIndividual and Community Rights Advocacy Forum Inc (ICRAF) pada Mei 1990 mendapati bahawa WTK Reality Group of Malaysia, ketika beroperasi di Vonimo, Wilayah Sadaun, Papua New Guinea telah melanggar kebanyakan syarat yang terkandung dalam Timber Rights Purchase (TRP), Perjanjian Projek dan PNG Logging Code of Practice.

“Adalah difahamkan bahawa Menteri Pertanian sekarang, semasa memegang jawatan sebagai pegawai di SEDC Sarawak, bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembalakan yang dijalankan oleh badan itu turut mempunyai pengalaman pahit berurusan dengan kumpulan yang sama.

“Sekiranya kedua-dua insiden di Papua New Guinea dan Sarawak ini dijadikan contoh, maka apakah jaminan ia tidak akan berulang di negeri Kedah?” tegas beliau lagi.

Sidang akhbar yang dibuat di luar bangunan DUN Kedah itu turut dihadiri Adun Anak Bukit, Haji Amiruddin Hamzah, yang merupakan bekas Jurutera MADA.

Terbitan : 19 April 2003

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: