Pertahan Perpaduan Elak Ketuanan Melayu Terhakis, Titah Tengku Mahkota Kelantan

12 April, 2008 15:28 PM



Pertahan Perpaduan Elak Ketuanan Melayu Terhakis, Titah Tengku Mahkota Kelantan



KUALA LUMPUR, 12 (Bernama) — Perpaduan Melayu wajar diberi keutamaan
tinggi, lebih-lebih lagi dengan keputusan pilihan raya umum yang lepas
menunjukkan masyarakat Melayu berpecah-belah dan sedang berhadapan
dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi politik serta
ekonomi, titah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra hari
ini.


Baginda bertitah tindak-tanduk dan kerenah mereka yang menang dan
kalah memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu amat
tercabar, mungkin juga akan terhakis atau hilang terus.


“Rakyat Melayu semakin keliru. Di manakah benteng kekuatan Melayu
untuk mempertahankan hak-hak Melayu dan ketuanan Melayu,” titah baginda
ketika merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu Sempena Maulidur Rasul
1429 Hijrah anjuran Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) di Pusat
Dagangan Dunia Putra di sini.


Baginda menegaskan perkara utama yang harus diketahui dan difahami
semua orang ialah peruntukan Perlembagaan bahawa orang Melayu adalah
penduduk asal Negeri-Negeri Melayu yang dijamin hak istimewa sebagai
rakyat Malaysia.


“Perkara 153(1), Perkara 160(2), Perkara 3(1), Perkara 152, Perkara
32 dan Perkara 38(1), Jadual Kelima, berkaitan hak dan ketuanan Melayu
mesti dipertahankan iaitu agama Islam adalah agama rasmi Malaysia,
Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia dan
Raja-Raja Melayu adalah Raja Berpelembagaan di Negeri-Negeri yang
menjadi sebahagian daripada Malaysia.



“Institusi Raja-Raja Melayulah yang menjadi payungnya,” titah baginda.


Baginda bertitah perkara-perkara ini bukan sahaja perlu
dipertahankan tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada
kelangsungan ketuanan Melayu.


“Adalah menjadi tanggungjawab rakyat Melayu memastikan
perkara-perkara yang beta sebut tadi dipelihara dan dipertahankan
sepanjang masa. Jangan ada mana-mana pihak yang menggugatnya.


“Orang Melayu perlulah membulatkan tekad bersatu, jangan
berpecah-belah, elakkan berpolemik yang boleh menjarakkan persefahaman
sesama sendiri,” titah baginda.



Tengku Muhammad Faris bertitah isu-isu ideologi, tafsiran pendapat yang pelbagai tidak menyumbang kepada perpaduan Melayu.


Titah baginda polemik negara Islam, negara sekular serta negara
berkebajikan, menjadikan rakyat menjadi semakin kabur pemikiran mereka.



Akibat daripada kekalutan ini, titah baginda, timbul satu senario di mana orang Melayu semakin terasing, menjarak dan menjauh.


“Beta amat sedih kerana dalam keadaan sekarang, tidak ada yang baik
dikaitkan dengan Melayu. Kita membiarkan diri kita didedahkan, diaibkan
dan dimalukan malah nampaknya menjadi satu kebanggaan sekiranya kita
dapat menunjukkan kelemahan bangsa sendiri.


“Siapa sahaja yang berjaya, mesti dicari cacat celanya, tidak cukup
dengan internet, ditambah dengan khidmat pesanan ringkas. Teori
propaganda menyebut sepuluh kebohongan akan menjadi kebenaran, teori
komunikasi moden pula menyebut bahawa setiap e-mail dianggap benar,
setiap SMS dianggap sahih,” titah baginda.


Tengku Mahkota juga kesal orang Melayu seolah-olah dianggap menjadi
punca segala penyakit masyarakat seperti korupsi, dadah dan sebagainya.


“Orang lain diam menyembunyikan keaiban bangsa mereka, kita yang
beragama Islam, menjadikan kerja mengaibkan bangsa sendiri sebagai hobi
pertama,” titah baginda.


Menurut Tengku Mahkota, baginda membangkitkan perkara itu
semata-mata untuk menunjukkan bahawa perpaduan umat Melayu amat rapuh
dan semakin hari semakin parah.


“Beta berharap perhimpunan pada pagi ini memikirkan bagaimana
hendak menjadikan Melayu sebagai bangsa berjiwa besar. Kita mesti ada
jiwa penakluk. Tetapi bolehkah kita menjadi bangsa yang berjiwa
penakluk dengan sikap dan pendirian yang kita pegang hari ini,” titah
baginda.


Baginda bertitah berjiwa penakluk bukan bermaksud menakluk bangsa
atau kaum lain tetapi menakluk ketinggian ilmu, menguasai ekonomi dan
teknologi, keunggulan tamadun, keluhuran iman dan takwa yang mampu
menakluki serta menewaskan nafsu buas, rasa iri hati dan hasad dengki
yang membuatkan kita lupa diri apabila berkuasa.


“Beta ingin menyatakan bahawa perpaduan, kesepakatan, patriotisme,
sayangkan bangsa, semuanya disatukan dalam satu ikatan perpaduan untuk
mengangkasakan martabat bangsa.


“Beta berharap mesej yang beta sampaikan ini akan mengusik
conscience atau fikrah kita semua untuk sama-sama menginsafi bahawa
imej dan maruah yang tercalar adalah menjadi tanggungjawab semua, tidak
kira kedudukan, ideologi politik, bangsawan atau rakyat biasa sama-sama
bertanggungjawab memperbaikinya,” titah baginda.


Tengku Mahkota bertitah mungkin ramai yang tidak senang dengan
kenyataan baginda tetapi itu adalah hakikat kerana demi kuasa, ada
pemimpin Melayu yang sanggup mengetepikan kepentingan bangsa sendiri
sedangkan pemimpin kaum lain sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman
demi mempertahankan hak mereka.


“Malangnya, beta dapati rakyat Melayu masih mengamalkan sikap
marahkan nyamuk, kelambu dibakar atau marahkan pemimpin, masa depan
anak cucu digadaikan.


“Yang menyedihkan ada pula paling taksub hendakkan kuasa hinggakan
membujur lalu, melintang patah, asal dapat kuasa yang menjadi matlamat
terakhir, sehingga sanggup menang sorak, kampung tergadai,” titah
baginda.


Baginda juga bertitah, selagi sikap ini tidak dikikis, selagi
itulah usaha untuk menyatukan Melayu hanya menjadi impian semata-mata.


“Beta berpendapat perhimpunan hari ini harus memikirkan dengan
semasak-masak sampai bila orang kita, Melayu harus bertelagah dan tidak
mahu bersatu serta berfikir secara matang.


“Sebenarnya pada pandangan beta, orang Melayu kini tidak mampu lagi
ditiup dengan slogan dan retorik. Peserta-peserta perhimpunan hendaklah
mempunyai niat untuk menyatupadukan Melayu secara jujur dan ikhlas
tanpa mempunyai apa-apa agenda tersembunyi termasuk untuk menaikkan
atau menjatuhkan mana-mana pemimpin,” titah baginda.



— BERNAMA

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: